1.0 DEFINISI DAN KONSEP
Bermula
dari tahun 1920-an, kajian-kajian berkaitan tingkah laku menunjukkan
faktor-faktor luaran atau persekitaran yang berlaku sebelum atau selepas
sesuatu peristiwa akan merangsang sesorang individu mempamerkan sesuatu tingkah
laku yang khusus.
Pada
umumnya hasil kajian saintifik pengurusan tingkah laku mencadangkan bahawa kebanyakan
tingkah laku adalah dipelajari. Ini bermakna tingkah laku baru atau alternatif
boleh dipelajari pada bila-bila masa. Tingkah laku yang negatif seperti
agresif, suka merosakkan harta benda boleh diubah kepada tingkah laku baru yang
lebih positif jika individu itu diberi intervensi yang dirancang dengan teliti,
iaitu sesuai dan sistematik. Pengurusan tingkah laku adalah program tingkah
laku yang berbentuk saintifik yang dibuat secara analisis untuk menghasilkan
perubahan tingkah laku sosial yang positif bagi seorang individu. (Bear, Wolf
and Risley, 1968).
Tingkah
laku adalah berbagai ragam dan berbagai laku. (Kamus Dewan, 1979).
Manakala
modifikasi atau pengubahsuaian pula adalah satu pendekatan berstruktur dan
bersistematik bagi meningkatkan tingkah laku diingini, mengurangkan tingkah
laku yang buruk, dan mengekalkan tingkah laku sasaran. Pendekatan ini banyak
mengamalkan peneguhan bagi mencapai matlamat pengubahsuaian tingkah laku
diingini.
Pengurusan
tingkah laku boleh ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah
laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik-teknik
atau kaedah-kaedah yang sesuai seperti peneguhan positif dan negatif. (Dr.
Ragbir Kaur Joginder Singh, 2012)
Dalam
rancangan ini, guru-guru harus memberitahu murid-murid tentang tingkah laku
yang harus diamalkan di sekolah dan peraturan-peraturan sosial yang harus
ditunjukkan dalam bilik darjah. Guru-guru juga mesti selalu memodelkan tingkah
laku yang positif.
Selain
itu, guru-guru juga harus menggunakan contoh-contoh visual dan konkrit untuk
menunjukkan interaksi yang positif dalam sistem persekolahan.
2.0 PROSES
Terdapat
beberapa proses yang telah ditetapkan dalam proses memodifikasikan tingkah laku
murid-murid yang melibatkan perkara-perkara berikut:
- Guru-guru harus mengenal pasti tingkah laku bermasalah yang telah ditunjukkan oleh seorang murid.
- Guru-guru harus menetapkan matlamat tingkah laku yang betul yang harus ditunjukkan oleh murid-murid tersebut.
- Guru-guru akan menggunakan pelbagai teknik modifikasi tingkah laku sehingga tingkah laku yang salah itu diperbaiki atau dipebetulkan.
2.1 Peringkat
dalam Proses Modifikasi Tingkah Laku
2.1.1 Taksiran
Pada peringkat awal, seorang guru harus mengenal pasti tingkah
laku bermasalah yang ditunjukkan oleh seseorang murid. Ini membolehkan guru
menetapkan objektif tingkah laku yang patut ditunjukkan oleh murid tersebut.
Masalah tingkah laku dinilai supaya masalah dapat ditangani untuk membawa
perubahan pola tingkah laku kepada murid-murid bermasalah.
2.1.2 Intervensi
Seterusnya, dalam proses intervensi, seseorang guru
menggunakan pelbagai teknik modifikasi tingkah laku sehingga tingkah laku yang
salah diperbetulkan atau diperbaiki. Dalam tahap ini, guru tersebut mesti terus
memperbaiki dan memodifikasikan tingkah laku salah murid-murid sehingga mereka
tidak lagi bergantung kepada ganjaran-ganjaran ekstrinsik tetapi menunjukkan
tingkah laku yang betul oleh kerana motivasi intrinsik mereka.
2.1.3 Penilaian
Selepas itu, pada tahap penilaian, guru tersebut mesti
menilai hasil kesemua intervensi tingkah laku dan membuat kesimpulan mengenai
program modifikasi tingkah lakunya.
Oleh
itu, dalam proses modifikasi tingkah laku, guru-guru mesti mengikut
langkah-langkah berikut:
- Membuat pemerhatian awal dan penilaian terhadap satu tingkah laku bermasalah.
- Mengenalpasti dan menentukan objektif tingkah laku positif yang perlu dicapai oleh murid-murid.
- Menunjukkan satu set tingkah laku positif (sama ada dengan kaedah model atau pemberitahuan).
- Memberikan ganjaran atau peneguhan untuk tingkah laku positif secara konsisten.
Guru-guru
perlu memahami bahawa walaupun dengan aplikasi teknik dan intervensi ini,
murid-murid mungkin terus menunjukkan tingkah laku bermasalah. Jikalau ini
berlaku, mereka perlu mendapat nasihat dan bantuan para profesional.
Justeru
itu, dalam mana-mana program modifikasi tingkah laku, seorang guru perlu
memahami murid-muridnya dan sentiasa bersifat adil.
3.0 OBJEKTIF
Program
pengurusan atau memodifikasikan tingkah laku penting kerana objektif utamanya
ialah untuk mengajar murid-murid tingkah laku betul yang harus diamalkan oleh
mereka. Justeru itu, guru-guru perlu merancang pelbagai strategi modifikasi
tingkah laku supaya meraka dapat melaksanakan program ini dengan konsisten.
Satu
objektif sampingan program ini ialah murid-murid diajar untuk memperbetulkan
semua tingkah laku bermasalah dan juga diajar respon-respon alternatif yang
boleh diterima dalam satu persekitaran sosial.
Guru-guru
juga mesti meneguhkan semua tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh
murid-murid secara konsisten dan tetap untuk memastikan kejayaan sesuatu
program modifikasi tingkah laku.
Apabila
seorang murid terlibat dalam satu konflik, membuli atau menjadi agresif secara
verbal atau fizikal, guru perlu mengamalkan interaksi positif dan mengelak
daripada memanggil murid tersebut nakal dan bodoh. Guru menunjukkan reaksi yang
tidak gembira dan murid bermasalah perlu memahami bahawa guru bukan marah
dengannya tetapi hanya degan tingkah laku salah yang dia tonjolkan.
Tingkah
laku yang diterima dan yang sesuai harus berlaku secara konsisten, dan ia
berlaku dalam satu jangka masa tertentu. Ia juga dipengaruhi oleh sokongan ibu
bapa dan bimbingan daripada rakan sebaya, pengalaman lepas dan teknik
intervensi yang digunakan oleh guru-guru, penjaga dan ibu bapa.
Guru-guru
mesti mengekalkan dan meningkatkan semua tingkah laku positif yang ditunjukkan
oleh murid-murid pada kadar konsisten dan tetap.
3.1 Pengekalan
Dan Peningkatan Tingkah Laku Yang Diingini.
Guru-guru
harus memikirkan strategi-strategi pengekalan dan peningkatan tingkah laku yang
diingini di kalangan murid-murid dengan menawarkan ganjaran-ganjaran seperti
berikut:
- Pingat kecemerlangan akademik mingguan.
- Pelekat dan coklat/pensil (untuk murid-murid yang lebih muda).
- Carta bintang (murid-murid yang lebih muda).
- Memberikan pujian (memberitahu murid-murid yang lain atau menyebut nama murid yang menunjukkan kelakuan baik di dalam perhimpunan atau bilik darjah).
Guru-guru yang berkemahiran selalu
menggunakan ganjaran yang berkesan dan tepat untuk memotivasikan murid-murid
mereka. Ganjaran ini boleh diberikan dalam bentuk hadiah materialistik atau
dalam bentuk penerimaan sosial di dalam bilik darjah.
Jika kata-kata pujian tidak berkesan,
guru-guru boleh menggunakan ganjaran berbentuk materialistik di mana
murid-murid ditawarkan sesuatu hadiah atau barang maujud. Hadiah yang akan
diberikan oleh guru-guru boleh dirunding bersama-sama dengan murid-murid.
Guru-guru juga mesti memberikan pujian
bersama-sama dengan sesuatu hadiah sehingga murid-murid hanya ingin menerima
pujian sahaja (motivasi intrinstik). Jika modifikasi tingkah laku berjaya,
murid-murid dapat menyesuaikan diri dan berfungsi dalam bilik darjah tanpa
mengharapkan apa-apa ganjaran.
Untuk mencapai satu set tingkah laku
positif yang dikehendaki dalam bilik darjah, guru-guru perlu menjalani
langkah-langkah berikut:
- Meningkatkan keyakinan kendiri dan konsep kendiri murid-murid setiap masa.
- Memuji murid-murid apabila mereka tidak menjangkanya langsung.
- Menyediakan peluang untuk murid-murid menjadi bertanggungjawab.
- Memberitahu murid-murid apabila mereka dapat melaksanakan satu tanggungjawab dengan baik.
- Guru-guru juga harus bersifat objektif dalam memahami murid-murid serta tidak boleh hilang kesabaran walaupun mereka ingin berbuat demikian.
Beberapa prinsip boleh digunakan dalam mengekalkan
dan meningkatkan satu set tingkah laku dalam sistem sekolah.
3.1.1 Prinsip Bersiri Anggaran
Seseorang guru mesti mengajar murid
bermasalah untuk beraksi dalam satu cara yang dia tidak pernah buat sebelum ini
dan memberikan banyak ganjaran secara bersiri dan konsisten sehingga tingkah
laku bermasalah berakhir.
Contohnya, seorang murid disruptif
bercakap dengan kuat dan kurang berminat untuk belajar di dalam bilik darjah. Dalam
mengaplikasi prinsip ini, guru akan memberikan ganjaran kepada murid ini setiap
kali dia bercakap dengan perlahan atau mengangkat tangannya untuk menjawab soalan sehingga
tingkah laku bermasalahnya berhenti.
3.1.2 Prinsip peneguhan Berterusan
Dalam mengaplikasi prinsip ini, bila
guru ingin membangunkan satu tingkah laku yang baru yang seorang murid belum
menunjukkan sebelum ini, beliau akan memberikan ganjaran serta merta secara
berterusan selepas tingkah laku yang betul dipertunjukkan oleh murid tersebut.
Contohnya, seorang murid yang selalu
gagal dalam mata pelajaran matematik, guru akan memberikan ganjaran setiap kali
pelajar tersebut dapat menjawab satu set soalan matematik dengan betul. Ini
akan menggalakkan murid untuk mencuba dan membuat lebih banyak soalan matematik
dan seterusnya menikmati kejayaan dalam mata pelajaran.
3.1.3 Prinsip
Peneguhan Negatif
Peneguhan negatif ialah apa sahaja yang dilakukan sebaik sahaja perlakuan
yang ditunjukkan dan hasilnya ialah perlakuan yang tidak diulangi lagi. Dengan
kata lain, suatu rangsangan yang menyeronokkan diberhentikan dari persekitaran
murid agar keadaan akan jadi lebih menyenangkan.
Antara jenis peneguhan
negatif ialah dendaan, pelupusan rangsangan yang menyeronokkan dan sebagainya.
Peneguhan negatif dilakukan segera sebaik sahaja pelakuan negatif ditunjukkan.
Murid yang dikenakan atau menerima peneguhan negatif mestilah tahu
kenapa mereka dikenakan peneguhan negatif. Ini penting agar tidak berlakunya
penderaan atau tindakan di luar batas normal dan mengelak daripada berlakunya
penganiayaan.
Peneguhan negatif tersebut mestilah kekal dan bersifat adil kepada
sesiapa sahaja yang dikira sesuai dikenakan peneguhan negatif.
Peneguhan negatif dikenakan atas dasar sayangkan murid dan bukan bertujuan
untuk balasan atau mengikut emosi marah.
Contohnya, ‘ Ahmad,
awak tinggal di dalam bilik ini dan siapkan kerja sebelum
awak ke bilik muzik bersama-sama kawan lain’.
3.1.4 Prinsip
Diskriminasi
Dalam
mengaplikasi prinsip diskriminasi, guru akan mengajar seorang murid untuk
bertindak di dalam satu cara yang tertentu di dalam satu keadaan, tetapi bukan
di dalam satu keadaan yang lain. Untuk membuat diskriminasi yang betul, murid
perlu mengenal pasti ‘kue’ tanda yang membezakan satu situasi dengan yang lain
dan hanya mendapat ganjaran apabila tindakannya betul sejajar dengan ‘kue’ yang
telah diberikan oleh guru.
Sebagai contoh, murid mungkin belajar
‘kue’ bahawa bercakap dengan kuat di dalam bilik darjah akan menyebabkan dia
mendapat lebih banyak kerja rumah. Justeru itu, murid tersebut belajar untuk
tidak bercakap kuat di dalam bilik darjah (stimuli diskriminasi). Justeru itu,
stimuli yang berdiskriminasi ini menyebabkan tingkah laku negatif kurang.
3.1.5 Prinsip
Peningkatan Peneguhan
Guru akan meletakkan syarat untuk lebih
masa atau renspon yang betul sebelum tingkah laku yang dikehendaki oleh murid
diberikan ganjaran yang sewajarnya. Bila seorang guru ingin menggalak seorang
murid untuk terus berusaha membuat satu tingkah laku yang telah dilazimkan
dengan ganjaran, beliau akan meningkat jangka masa atau bilangan respon bagi
murid tersebut untuk terus menunjukkan sesuatu tingkah laku yang positif.
Contohnya, seorang kanak-kanak membuat 10
soalan matematik dan menerima pujian daripada guru untuk pencapaian baiknya.
Mengikut prinsip ini, guru akan meningkatkan kerja rumahnya dengan menggandakan
jumlah soalan matematik dan menggalaknya untuk mendapatkan kesemua soalan ini
betul sebelum dia memuji murid tersebut pada kali berikutnya.
3.2 Pengurangan Dan Pelupusan Tingkah Laku Yang Tidak
Diingini.
Guru perlu menggunakan peneguhan negatif
dalam bentuk denda atau hukuman untuk mengurangkan dan melupuskan tingkah laku
yang tidak diingini. Bentuk-bentuk denda yang boleh diberikan adalah seperti
berikut:
- Kritikan
- Amaran
- Kerja tambahan
Hukuman merotan adalah perlu untuk
mengikis tingkah laku yang sangat berbahaya. Akan tetapi, kesan peneguhan
negatif menyebabkan murid tersebut benci sekolah dan mungkin menyebabkan
menarik diri daripada memberikan kerjasama kepada pihak sekolah.
Guru-guru juga boleh menghapuskan
tingkah laku yang salah atau mengurangnya dengan mengamalkan beberapa
prinsip-prinsip.
3.2.1 Prinsip Penghapusan
Jika guru ingin seorang kanak-kanak
untuk bertindak laku dalam cara yang tertentu, dia boleh mewujudkan situasi di
mana murid-murid tidak mendapatkan sebarang perhatian selepas menunjukkan
sesuatu tingkah laku bermasalah.
Contohnya, seorang murid memiliki tabiat
untuk menyembunyikan diri di bawah mejanya, dan setiap kali dia berbuat
demikian, murid-murid yang lain di dalam bilik darjah akan meneguhkan tingkah
laku ini dengan ketawa. Justeru itu, guru-guru memberitahu murid-murid dalam
kelas untuk tidak ketawa dan guru tersebut juga tidak memberi perhatian tingkah
lakunya. Lama kelamaan, ini akan meghapuskan tingkah laku bermasalah tersebut.
3.2.2 Prinsip Pengelakan
Bila guru-guru ingin mengajar
murid-murid untuk mengelak sesuatu situasi negatif yang tertentu, guru-guru
perlu memastikan situasi itu dielakkan dengan satu stimuli yang kurang selesa.
Contohnya, seorang murid sentiasa datang
lewat ke sekolah. Guru kelas memaklumkan padanya bahawa jika dia lambat sekali
lagi, dia perlu memberi ucapan pada hari perhimpunan sekolah yang berikutnya.
Jadi murid tersebut akan datang ke sekolah awal untuk mengelak dari memberi
ucapan di perhimpunan sekolah.
Contoh lain yang boleh diaplikasikan di
bilik darjah ialah dengan memberitahu murid yang bermasalah jika dia tidak
ingin pergi ke bilik disiplin, dia perlu memastikan yang dia duduk dengan diam
dan mengikut arahan guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.
3.2.3 Prinsip Pengurangan Ketakutan
Bila guru ingin membantu seorang murid untuk
mengatasi perasaan takut dalam satu situasi tertentu, guru perlu meningkatkan
pendedahan kepada situasi tersebut sehingga murid-murid tersebut merasa selesa
dan dihargai oleh semua.
Contohnya, seorang murid yang takut
untuk menjawab soalan dalam bilik darjah digalak untuk menjawab soalan dalam
aktiviti kumpulan kecil terlebih dahulu untuk mendapat keyakinan sebelum
mencuba dan menjawab soalan di dalam bilik darjah.
3.2.4 Prinsip Hukuman
Bila guru ingin memberhentikan tingkah
laku bermasalah yang serius, hukuman seperti merotan murid tersebut selepas
satu tingkah laku negatif yang ditonjolkan perlu dijalankan. Oleh kerana
hukuman seperti ini hanya menyebabkan hostiliti berlebihan dan agresif, ia
harus digunakan secara jarang.
Contoh hukuman ialah hukuman rotan dan
digunakan secara jarang apabila keadaan yang benar-benar memerlukan hukuman ini
dikenakan setelah teknik lain tidak berhasil.
4.0 RUMUSAN OBJEKTIF MODIFIKASI TINGKAH LAKU
Modifikasi tingkah laku merupakan suatu
pendekatan sistematik untuk mengubah tingkah laku melalui pengaplikasian
prinsip-prinsip pelaziman. Prinsip
pelaziman adalah berdasarkan teori-teori yang dikemukakan oleh
pakar-pakar behavioris melalui Teori Pembelajaran Behavioris. Teori ini
berfokus kepada pembolehubah yang boleh dilihat, dinilai dan yang boleh
dimanipulasikan. Pada dasarnya, teori ini menyarankan kepercayaan bahawa
tingkah laku seseorang disebabkan dan dipengaruhi oleh persekitarannya. Ia
berdasarkan prinsip bahawa rangsangan dari persekitaran membawa tidak balas
pada tingkah laku. Teori ini juga menyarankan bahawa pembelajaran berlaku
apabila tindakan secara ulang dilakukan sehingga ianya menjadi kebiasaan.
Tingkah laku yang berulang itu dapat dikekalkan dengan peneguhan.
Tingkah laku adalah kekuatan jika ia diikuti
dengan peneguhan. Malah peneguhan itu boleh sama ada peneguhan positif atau
peneguhan negatif. Peneguhan positif merupakan stimuli yang boleh menambahkan
kebarangkalian berulangnya sesuatu tingkah laku yang dikehendaki. Dalam
permulaan pembelajaran, peneguhan diperlukan setiap masa agar ia dapat
menghasilkan tingkah laku yang diharapkan. Tingkah laku dapat dikekalkan dengan
peneguhan yang tidak sama dan berlainan. Misalnya memberi pujian, penghargaan,
hadiah dan sebagainya sebaik sahaja tingkah laku yang memuaskan berlaku.
Peneguhan negatif pula merupakan stimuli yang
dihapuskan dengan tujuan menguatkan tingkah laku positif supaya ia dapat
diteruskan. Misalnya, seorang guru mengarah seseorang murid yang membuat bising
dalam kelas agar keluar dan berdiri di luar kelas bagi menambahkan peluang
murid lain untuk meneruskan aktiviti pembelajaran tanpa gangguan.
Denda atau hukuman pula bertujuan menghentikan
sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Tetapi, ia adalah sesuatu yang kurang
baik jika dikenakan kepada kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku yang
negatif. Ini kerana apabila hukuman dijalankan, maka tingkah laku itu akan
menjadi menjadi semakin lemah apabila hukuman dikenakan.
Disediakan oleh :
Fardynani bt. Mohd Yusuff
DPLI Matematik 2012
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteTerima kasih atas nota di atas. Saya ingin menggunakan sebagai rujukan. Boleh cikgu berikan saya maklumat di mana saya boleh dapatkan buku asalnya sebab saya perlukan senarai rujukannya.
ReplyDeleteSekian terima kasih