Thursday, 30 August 2012

PENGURUSAN TINGKAH LAKU BERMASALAH



1.0       DEFINISI DAN KONSEP

Bermula dari tahun 1920-an, kajian-kajian berkaitan tingkah laku menunjukkan faktor-faktor luaran atau persekitaran yang berlaku sebelum atau selepas sesuatu peristiwa akan merangsang sesorang individu mempamerkan sesuatu tingkah laku yang khusus.

Pada umumnya hasil kajian saintifik pengurusan tingkah laku mencadangkan bahawa kebanyakan tingkah laku adalah dipelajari. Ini bermakna tingkah laku baru atau alternatif boleh dipelajari pada bila-bila masa. Tingkah laku yang negatif seperti agresif, suka merosakkan harta benda boleh diubah kepada tingkah laku baru yang lebih positif jika individu itu diberi intervensi yang dirancang dengan teliti, iaitu sesuai dan sistematik. Pengurusan tingkah laku adalah program tingkah laku yang berbentuk saintifik yang dibuat secara analisis untuk menghasilkan perubahan tingkah laku sosial yang positif bagi seorang individu. (Bear, Wolf and Risley, 1968).

Tingkah laku adalah berbagai ragam dan berbagai laku. (Kamus Dewan, 1979).

Manakala modifikasi atau pengubahsuaian pula adalah satu pendekatan berstruktur dan bersistematik bagi meningkatkan tingkah laku diingini, mengurangkan tingkah laku yang buruk, dan mengekalkan tingkah laku sasaran. Pendekatan ini banyak mengamalkan peneguhan bagi mencapai matlamat pengubahsuaian tingkah laku diingini.

Pengurusan tingkah laku boleh ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik-teknik atau kaedah-kaedah yang sesuai seperti peneguhan positif dan negatif. (Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh, 2012)

Dalam rancangan ini, guru-guru harus memberitahu murid-murid tentang tingkah laku yang harus diamalkan di sekolah dan peraturan-peraturan sosial yang harus ditunjukkan dalam bilik darjah. Guru-guru juga mesti selalu memodelkan tingkah laku yang positif.
Selain itu, guru-guru juga harus menggunakan contoh-contoh visual dan konkrit untuk menunjukkan interaksi yang positif dalam sistem persekolahan.

2.0       PROSES

Terdapat beberapa proses yang telah ditetapkan dalam proses memodifikasikan tingkah laku murid-murid yang melibatkan perkara-perkara berikut:
  • Guru-guru harus mengenal pasti tingkah laku bermasalah yang telah ditunjukkan oleh seorang murid.
  • Guru-guru harus menetapkan matlamat tingkah laku yang betul yang harus ditunjukkan oleh murid-murid tersebut.
  • Guru-guru akan menggunakan pelbagai teknik modifikasi tingkah laku sehingga tingkah laku yang salah itu diperbaiki atau dipebetulkan.

2.1       Peringkat dalam Proses Modifikasi Tingkah Laku

2.1.1   Taksiran

Pada peringkat awal, seorang guru harus mengenal pasti tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan oleh seseorang murid. Ini membolehkan guru menetapkan objektif tingkah laku yang patut ditunjukkan oleh murid tersebut. Masalah tingkah laku dinilai supaya masalah dapat ditangani untuk membawa perubahan pola tingkah laku kepada murid-murid bermasalah.

2.1.2   Intervensi

Seterusnya, dalam proses intervensi, seseorang guru menggunakan pelbagai teknik modifikasi tingkah laku sehingga tingkah laku yang salah diperbetulkan atau diperbaiki. Dalam tahap ini, guru tersebut mesti terus memperbaiki dan memodifikasikan tingkah laku salah murid-murid sehingga mereka tidak lagi bergantung kepada ganjaran-ganjaran ekstrinsik tetapi menunjukkan tingkah laku yang betul oleh kerana motivasi intrinsik mereka.

2.1.3   Penilaian

Selepas itu, pada tahap penilaian, guru tersebut mesti menilai hasil kesemua intervensi tingkah laku dan membuat kesimpulan mengenai program modifikasi tingkah lakunya.

Oleh itu, dalam proses modifikasi tingkah laku, guru-guru mesti mengikut langkah-langkah berikut:                                                   
  • Membuat pemerhatian awal dan penilaian terhadap satu tingkah laku bermasalah.
  • Mengenalpasti dan menentukan objektif tingkah laku positif yang perlu dicapai oleh murid-murid.
  • Menunjukkan satu set tingkah laku positif (sama ada dengan kaedah model atau pemberitahuan).
  • Memberikan ganjaran atau peneguhan untuk tingkah laku positif secara konsisten.

Guru-guru perlu memahami bahawa walaupun dengan aplikasi teknik dan intervensi ini, murid-murid mungkin terus menunjukkan tingkah laku bermasalah. Jikalau ini berlaku, mereka perlu mendapat nasihat dan bantuan para profesional.

Justeru itu, dalam mana-mana program modifikasi tingkah laku, seorang guru perlu memahami murid-muridnya dan sentiasa bersifat adil.

3.0       OBJEKTIF


Program pengurusan atau memodifikasikan tingkah laku penting kerana objektif utamanya ialah untuk mengajar murid-murid tingkah laku betul yang harus diamalkan oleh mereka. Justeru itu, guru-guru perlu merancang pelbagai strategi modifikasi tingkah laku supaya meraka dapat melaksanakan program ini dengan konsisten.

Satu objektif sampingan program ini ialah murid-murid diajar untuk memperbetulkan semua tingkah laku bermasalah dan juga diajar respon-respon alternatif yang boleh diterima dalam satu persekitaran sosial.

Guru-guru juga mesti meneguhkan semua tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid-murid secara konsisten dan tetap untuk memastikan kejayaan sesuatu program modifikasi tingkah laku.

Apabila seorang murid terlibat dalam satu konflik, membuli atau menjadi agresif secara verbal atau fizikal, guru perlu mengamalkan interaksi positif dan mengelak daripada memanggil murid tersebut nakal dan bodoh. Guru menunjukkan reaksi yang tidak gembira dan murid bermasalah perlu memahami bahawa guru bukan marah dengannya tetapi hanya degan tingkah laku salah yang dia tonjolkan.

Tingkah laku yang diterima dan yang sesuai harus berlaku secara konsisten, dan ia berlaku dalam satu jangka masa tertentu. Ia juga dipengaruhi oleh sokongan ibu bapa dan bimbingan daripada rakan sebaya, pengalaman lepas dan teknik intervensi yang digunakan oleh guru-guru, penjaga dan ibu bapa.

Guru-guru mesti mengekalkan dan meningkatkan semua tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid-murid pada kadar konsisten dan tetap.

3.1       Pengekalan Dan Peningkatan Tingkah Laku Yang Diingini.


Guru-guru harus memikirkan strategi-strategi pengekalan dan peningkatan tingkah laku yang diingini di kalangan murid-murid dengan menawarkan ganjaran-ganjaran seperti berikut:
    • Pingat kecemerlangan akademik mingguan.
    •  Pelekat dan coklat/pensil (untuk murid-murid yang lebih muda).
    • Carta bintang (murid-murid yang lebih muda).
    • Memberikan pujian (memberitahu murid-murid yang lain atau menyebut nama murid yang menunjukkan kelakuan baik di dalam perhimpunan atau bilik darjah).

Guru-guru yang berkemahiran selalu menggunakan ganjaran yang berkesan dan tepat untuk memotivasikan murid-murid mereka. Ganjaran ini boleh diberikan dalam bentuk hadiah materialistik atau dalam bentuk penerimaan sosial di dalam bilik darjah.

Jika kata-kata pujian tidak berkesan, guru-guru boleh menggunakan ganjaran berbentuk materialistik di mana murid-murid ditawarkan sesuatu hadiah atau barang maujud. Hadiah yang akan diberikan oleh guru-guru boleh dirunding bersama-sama dengan murid-murid.

Guru-guru juga mesti memberikan pujian bersama-sama dengan sesuatu hadiah sehingga murid-murid hanya ingin menerima pujian sahaja (motivasi intrinstik). Jika modifikasi tingkah laku berjaya, murid-murid dapat menyesuaikan diri dan berfungsi dalam bilik darjah tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran.

Untuk mencapai satu set tingkah laku positif yang dikehendaki dalam bilik darjah, guru-guru perlu menjalani langkah-langkah berikut:
    • Meningkatkan keyakinan kendiri dan konsep kendiri murid-murid setiap masa.
    • Memuji murid-murid apabila mereka tidak menjangkanya langsung.
    • Menyediakan peluang untuk murid-murid menjadi bertanggungjawab.
    • Memberitahu murid-murid apabila mereka dapat melaksanakan satu tanggungjawab dengan baik.
    • Guru-guru juga harus bersifat objektif dalam memahami murid-murid serta tidak boleh hilang kesabaran walaupun mereka ingin berbuat demikian.

Beberapa prinsip boleh digunakan dalam mengekalkan dan meningkatkan satu set tingkah laku dalam sistem sekolah.

                        3.1.1   Prinsip Bersiri Anggaran

Seseorang guru mesti mengajar murid bermasalah untuk beraksi dalam satu cara yang dia tidak pernah buat sebelum ini dan memberikan banyak ganjaran secara bersiri dan konsisten sehingga tingkah laku bermasalah berakhir.

Contohnya, seorang murid disruptif bercakap dengan kuat dan kurang berminat untuk belajar di dalam bilik darjah. Dalam mengaplikasi prinsip ini, guru akan memberikan ganjaran kepada murid ini setiap kali dia bercakap dengan perlahan atau mengangkat  tangannya untuk menjawab soalan sehingga tingkah laku bermasalahnya berhenti.

                        3.1.2   Prinsip peneguhan Berterusan

Dalam mengaplikasi prinsip ini, bila guru ingin membangunkan satu tingkah laku yang baru yang seorang murid belum menunjukkan sebelum ini, beliau akan memberikan ganjaran serta merta secara berterusan selepas tingkah laku yang betul dipertunjukkan oleh murid tersebut.

Contohnya, seorang murid yang selalu gagal dalam mata pelajaran matematik, guru akan memberikan ganjaran setiap kali pelajar tersebut dapat menjawab satu set soalan matematik dengan betul. Ini akan menggalakkan murid untuk mencuba dan membuat lebih banyak soalan matematik dan seterusnya menikmati kejayaan dalam mata pelajaran.

   3.1.3   Prinsip Peneguhan Negatif

Peneguhan negatif ialah apa sahaja yang dilakukan sebaik sahaja perlakuan yang ditunjukkan dan hasilnya ialah perlakuan yang tidak diulangi lagi. Dengan kata lain, suatu rangsangan yang menyeronokkan diberhentikan dari persekitaran murid agar keadaan akan jadi lebih menyenangkan.

Antara jenis peneguhan negatif ialah dendaan, pelupusan rangsangan yang menyeronokkan dan sebagainya. Peneguhan negatif dilakukan segera sebaik sahaja pelakuan negatif ditunjukkan.

Murid yang dikenakan atau menerima peneguhan negatif mestilah tahu kenapa mereka dikenakan peneguhan negatif. Ini penting agar tidak berlakunya penderaan atau tindakan di luar batas normal dan mengelak daripada berlakunya penganiayaan.

Peneguhan negatif tersebut mestilah kekal dan bersifat adil kepada sesiapa sahaja yang dikira sesuai dikenakan peneguhan negatif.
Peneguhan negatif dikenakan atas dasar sayangkan murid dan bukan bertujuan untuk balasan atau mengikut emosi marah.

Contohnya, ‘ Ahmad, awak tinggal di dalam bilik ini dan siapkan kerja sebelum awak ke bilik muzik bersama-sama kawan lain’.

                        3.1.4   Prinsip Diskriminasi

Dalam mengaplikasi prinsip diskriminasi, guru akan mengajar seorang murid untuk bertindak di dalam satu cara yang tertentu di dalam satu keadaan, tetapi bukan di dalam satu keadaan yang lain. Untuk membuat diskriminasi yang betul, murid perlu mengenal pasti ‘kue’ tanda yang membezakan satu situasi dengan yang lain dan hanya mendapat ganjaran apabila tindakannya betul sejajar dengan ‘kue’ yang telah diberikan oleh guru.

Sebagai contoh, murid mungkin belajar ‘kue’ bahawa bercakap dengan kuat di dalam bilik darjah akan menyebabkan dia mendapat lebih banyak kerja rumah. Justeru itu, murid tersebut belajar untuk tidak bercakap kuat di dalam bilik darjah (stimuli diskriminasi). Justeru itu, stimuli yang berdiskriminasi ini menyebabkan tingkah laku negatif kurang.

3.1.5   Prinsip Peningkatan Peneguhan

Guru akan meletakkan syarat untuk lebih masa atau renspon yang betul sebelum tingkah laku yang dikehendaki oleh murid diberikan ganjaran yang sewajarnya. Bila seorang guru ingin menggalak seorang murid untuk terus berusaha membuat satu tingkah laku yang telah dilazimkan dengan ganjaran, beliau akan meningkat jangka masa atau bilangan respon bagi murid tersebut untuk terus menunjukkan sesuatu tingkah laku yang positif.

Contohnya, seorang kanak-kanak membuat 10 soalan matematik dan menerima pujian daripada guru untuk pencapaian baiknya. Mengikut prinsip ini, guru akan meningkatkan kerja rumahnya dengan menggandakan jumlah soalan matematik dan menggalaknya untuk mendapatkan kesemua soalan ini betul sebelum dia memuji murid tersebut pada kali berikutnya.

           3.2        Pengurangan  Dan Pelupusan Tingkah Laku Yang Tidak Diingini.


Guru perlu menggunakan peneguhan negatif dalam bentuk denda atau hukuman untuk mengurangkan dan melupuskan tingkah laku yang tidak diingini. Bentuk-bentuk denda yang boleh diberikan adalah seperti berikut:
    • Kritikan
    • Amaran
    •  Kerja tambahan

Hukuman merotan adalah perlu untuk mengikis tingkah laku yang sangat berbahaya. Akan tetapi, kesan peneguhan negatif menyebabkan murid tersebut benci sekolah dan mungkin menyebabkan menarik diri daripada memberikan kerjasama kepada pihak sekolah.

Guru-guru juga boleh menghapuskan tingkah laku yang salah atau mengurangnya dengan mengamalkan beberapa prinsip-prinsip.

                        3.2.1   Prinsip Penghapusan

Jika guru ingin seorang kanak-kanak untuk bertindak laku dalam cara yang tertentu, dia boleh mewujudkan situasi di mana murid-murid tidak mendapatkan sebarang perhatian selepas menunjukkan sesuatu tingkah laku bermasalah.

Contohnya, seorang murid memiliki tabiat untuk menyembunyikan diri di bawah mejanya, dan setiap kali dia berbuat demikian, murid-murid yang lain di dalam bilik darjah akan meneguhkan tingkah laku ini dengan ketawa. Justeru itu, guru-guru memberitahu murid-murid dalam kelas untuk tidak ketawa dan guru tersebut juga tidak memberi perhatian tingkah lakunya. Lama kelamaan, ini akan meghapuskan tingkah laku bermasalah tersebut.

                        3.2.2   Prinsip Pengelakan

Bila guru-guru ingin mengajar murid-murid untuk mengelak sesuatu situasi negatif yang tertentu, guru-guru perlu memastikan situasi itu dielakkan dengan satu stimuli yang kurang selesa.

Contohnya, seorang murid sentiasa datang lewat ke sekolah. Guru kelas memaklumkan padanya bahawa jika dia lambat sekali lagi, dia perlu memberi ucapan pada hari perhimpunan sekolah yang berikutnya. Jadi murid tersebut akan datang ke sekolah awal untuk mengelak dari memberi ucapan di perhimpunan sekolah.

Contoh lain yang boleh diaplikasikan di bilik darjah ialah dengan memberitahu murid yang bermasalah jika dia tidak ingin pergi ke bilik disiplin, dia perlu memastikan yang dia duduk dengan diam dan mengikut arahan guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.

                        3.2.3   Prinsip Pengurangan Ketakutan

Bila guru ingin membantu seorang murid untuk mengatasi perasaan takut dalam satu situasi tertentu, guru perlu meningkatkan pendedahan kepada situasi tersebut sehingga murid-murid tersebut merasa selesa dan dihargai oleh semua.

Contohnya, seorang murid yang takut untuk menjawab soalan dalam bilik darjah digalak untuk menjawab soalan dalam aktiviti kumpulan kecil terlebih dahulu untuk mendapat keyakinan sebelum mencuba dan menjawab soalan di dalam bilik darjah.
                        
                        3.2.4   Prinsip Hukuman

Bila guru ingin memberhentikan tingkah laku bermasalah yang serius, hukuman seperti merotan murid tersebut selepas satu tingkah laku negatif yang ditonjolkan perlu dijalankan. Oleh kerana hukuman seperti ini hanya menyebabkan hostiliti berlebihan dan agresif, ia harus digunakan secara jarang.

Contoh hukuman ialah hukuman rotan dan digunakan secara jarang apabila keadaan yang benar-benar memerlukan hukuman ini dikenakan setelah teknik lain tidak berhasil.

4.0     RUMUSAN OBJEKTIF MODIFIKASI TINGKAH LAKU

Modifikasi tingkah laku merupakan suatu pendekatan sistematik untuk mengubah tingkah laku melalui pengaplikasian prinsip-prinsip pelaziman. Prinsip  pelaziman adalah berdasarkan teori-teori yang dikemukakan oleh pakar-pakar behavioris melalui Teori Pembelajaran Behavioris. Teori ini berfokus kepada pembolehubah yang boleh dilihat, dinilai dan yang boleh dimanipulasikan. Pada dasarnya, teori ini menyarankan kepercayaan bahawa tingkah laku seseorang disebabkan dan dipengaruhi oleh persekitarannya. Ia berdasarkan prinsip bahawa rangsangan dari persekitaran membawa tidak balas pada tingkah laku. Teori ini juga menyarankan bahawa pembelajaran berlaku apabila tindakan secara ulang dilakukan sehingga ianya menjadi kebiasaan. Tingkah laku yang berulang itu dapat dikekalkan dengan peneguhan.

Tingkah laku adalah kekuatan jika ia diikuti dengan peneguhan. Malah peneguhan itu boleh sama ada peneguhan positif atau peneguhan negatif. Peneguhan positif merupakan stimuli yang boleh menambahkan kebarangkalian berulangnya sesuatu tingkah laku yang dikehendaki. Dalam permulaan pembelajaran, peneguhan diperlukan setiap masa agar ia dapat menghasilkan tingkah laku yang diharapkan. Tingkah laku dapat dikekalkan dengan peneguhan yang tidak sama dan berlainan. Misalnya memberi pujian, penghargaan, hadiah dan sebagainya sebaik sahaja tingkah laku yang memuaskan berlaku.

Peneguhan negatif pula merupakan stimuli yang dihapuskan dengan tujuan menguatkan tingkah laku positif supaya ia dapat diteruskan. Misalnya, seorang guru mengarah seseorang murid yang membuat bising dalam kelas agar keluar dan berdiri di luar kelas bagi menambahkan peluang murid lain untuk meneruskan aktiviti pembelajaran tanpa gangguan.

Denda atau hukuman pula bertujuan menghentikan sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Tetapi, ia adalah sesuatu yang kurang baik jika dikenakan kepada kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku yang negatif. Ini kerana apabila hukuman dijalankan, maka tingkah laku itu akan menjadi menjadi semakin lemah apabila hukuman dikenakan. 

Disediakan oleh :
Fardynani bt. Mohd Yusuff
DPLI Matematik 2012

TEKNIK MODIFIKASI TINGKAH LAKU


1.0   TEKNIK MODIFIKASI TINGKAH LAKU

Modifikasi tingkah laku ialah suatu pendekatan yang bersistematik untuk mengubah tingkah laku melalui aplikasi pelaziman. Guru-guru boleh menggunakan banyak teknik untuk memodifikasikan tingkah laku murid-muridnya. Guru-guru perlu menggunakan satu sistem pengurusan tingkahlaku bermasalah dengan membuat pemantauan dan penilaian terhadap tingkahlaku bermasalah di dalam bilik drajahnya. Tujuan teknik modifikasi tingkah laku ialah mengaplikasikan ganjaran peneguhan (hadiah/dendaan) untuk mengurangkan atau menghapuskan tingkah laku bermasalah atau mengajar murid respon-respon yang baru. Berikut ialah huraian pelbagai teknik yang sesuai digunakan untuk perlaksanaan program modifikasi tingkah laku murid-murid di sekolah.

1.1   Peneguhan

Ø Positif dan peneguhan Negatif
Menurut Skinner ( 1930 ), tingkah laku boleh diajarkan dan dipelajari melalui satu stimuli yang sesuai yang diberi sebaik saja wujunya tingkah laku operan itu. Peneguhan boleh berupa positif dan negatif.

Ø  Peneguhan Positif

Guru-guru yang mahir selalu menggunakan ganjaran yang efektif dan ganjaran yang sesuai (stimulus) untuk meningkatkan respon positif. Ganjaran ini boleh berlaku dalam bentuk hadiah materialistik atau dalam bentuk penerimaan sosial di dalam bilik darjah. Peneguhan positif ialah satu proses di mana guru-guru akan cuba mengawal tingkah laku murid dengan motivasi, hadiah dan sentuhan serta kata-kata perangsang yang dapat membaiki/ mengubah tingkah laku murid-muridnya. Peneguhan positif juga berfungsi sebagai ganjaran yang mendorong individu mengulangi tingkah laku berulang-ulang. Terdapat dua jenis ganjaran/ peneguhan positif iaitu:
i)             Ganjaran primer ( susu, makanan, gula-gula)
ii)            Ganjaran terlazim (bintang, token, markah tinggi, penerimaan sosial dan sentuhan, perkataan (lisan dan bertulis), permainan dan aktiviti, ekspresi dan wajah guru (muka atau badan).
Dalam peneguhan sosial, seorang guru boleh melafazkan kata-kata pujian seperti berikut:
“saya suka cara kamu melaksanakan kerja awak dalam aktiviti berkumpulan,”
“sangat bagus, itu adalah satu soalan yang baik.”
Memberi pujian (memberitahu murid-murid yang lain atau menyebut nama murid-murid yang menunjukkan tingkah laku yang baik semasa perhimpunan sekolah); dan memuji kebolehan murid-murid kepada ibu bapa. Peneguhan positif yang lain adalah motivasi dan sentuhan serta penggunaan perkataan-perkataan inspirasi yang boleh meningkatkan atau mengubah tingkah laku murid-murid. Beberapacontoh peneguhan positif yang boleh digunakan oleh guru ialah:
i)             Murid di suruh untuk menjadi pembantu guru;
ii)            5 hingga 10 minit aktiviti bebas (muri-murid boleh membuat apa sahaja aktiviti yang mereka suka);
iii)           Guru menulis nota pujian kepada ibu bapa murid;
iv)           Murid diberikan masa bebas untuk pergi ke perpustakaan
v)            Murid diberikan peluang menjadi ketua aktiviti kumpulan;
vi)           Murid mendengar cerita yang dirakan oleh guru;
vii)         Murid mendapat senyuman daripada guru setelah memberi respon yang betul;

Ø  Peneguhan Negatif

Jikalau peneguhan positif tidak berkesan, maka guru-guru perlu menggunakan peneguhan negatif untuk mengawal tingkah laku murid seperti dendaan, memarahi murid, menggunakan kata-kata kesat atau menyuruh mereka menjalani ‘time out’. Peneguhan negatif berfungsi mengelakkan dari tingkah laku yang tidak diingini berulang lagi  supaya tingkah laku positif dapat dikuatkan lagi. Peneguhan negatif meningkatkan kemungkinan berlaku sesuatu respon. Guru-guru juga boleh menggunakan peneguhan negatif untuk meningkatkan kemungkinan berlaku sesuatu tingkah laku yang positif. Jika peneguhan positif masih tidak berkesan, guru-guru perlu menggunakan kaedah disiplin yang lebih tegas seperti menghantar murid-murid bermasalah kepada guru disiplin.

1.2   Denda dan Peneguhan

Dendaan/hukuman adalah satu lagi teknik modofikasi tingkah laku yang boleh ditadbirkan kepada murid-murid untuk mengawal tingkah laku negatif. Hukuman merupakan stimulus yang dapat mengurangkan kekerapan frekuensi satu respons. Jester itu, hukuman efektif dalam mengurangkan tingkah laku negatif. Denda dilakukan unuk mengelakkan tingkah laku yang tidak diingini berulang. Dengan erti kata lain ialah menghentikan perbuatan atau tingkah laku yang tidak baik daripada dilakukan lagi. Ia biasanya hanya memberi kesan yang singkat sahaja. Apabila individu terlupa, ia akan mengulangi semula perbuatan atau tingkah laku tersebut. Semua hukuman harus dimaklumkan kepada murid-murid dan pihak sekolah dan mesti menentukan bahawa sesuatu hukuman itu dilaksanakan sekiranya guru telah menyatakannya kepada murid-murid semasa memodifikasi tingkah lakunya. Beberapa contoh dendaan yang boleh dilaksanakan di sekolah ialah seperti berikut:
i)             Dimarahi oeh guru, guru disiplin dan Guru Besar;
ii)            Diberikan amaran;
iii)           Hukuman dengan membuat kerja di kawasan sekolah seperti mengutip sampah atau mencuci tandas;
iv)           “time out” sama ada di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah;
v)            Di hantar ke bilik Guru Besar;
vi)           Dan ibu bapa murid yang menunjukkan tingkah laku bermasalah di suruh datang ke sekolah untuk membincangkan masalah murid tersebut.

Peneguhan pula sekadar memberi dorongan agar tingkah laku yang diingini atau sebaliknya berfungsi dengan sebaiknya.

1.3   “Reverse Psychology”

“Reverse psychology ialah satu teknik modifikasi tingkah laku yang boleh digunakan oleh guru-guru untuk mendapatkan tingkah laku yang dikehendaki daripada murid-murid di dalam bilik darjah. Ia sangat berkesan dengan murid-murid yang berkeyakinan diri, murid-murid yang degil dan mempunyai konsep kendiri yang tinggi. Ia adalah kaedah menggunakan psikologi untuk memodifikasikan tingkah laku negatif kepada positif. Ia bertujuan agar murid-murid dapat melupakan tingkah laku negatif dan beralih kepada tingkah laku positif. “Reverse psychology” berlandankan prinsip di mana guru-guru akan membuat satu tindakan yang berlainan daripada tindakan-tindakan biasanya. Sebagai contoh, jika seseorang guru ingin muridnya diam, beliau mungkin mengatakan sesuatu seperti berikut, “ Teruskan dan buat bising sekuat yang anda semua boleh” dalam suara yang kuat dan tegas. Murid-murid akan memahami maksud sebenar yang ingin diperkatakan oleh guru ialah untuk mereka diam dengan serta merta kerana mereka mengetahui guru tidak bermaksud apa yang beliau lafazkan. Prinsip-prinsip “reverse psychology” dipaparkan dalam situasi berikut:
Guru :”saya pasti yang awak tidak dapat membuat soalan matematik yang susah kerana ia perlukan seseorang yang mahir.”
Murid bermasalah :”Tentu saya boleh.”
Guru :” saya minta maaf, tetapi anda tidak mempunyai kemahiran yang diperlukan,”
Murid :”Ok, cikgu, lihat apa saya boleh buat!
Murid bermasalah :”Saya tidak bersedia untuk membuat matematik!
Guru:”Oleh kerana anda telah mengatakannya, saya pon tidak bersedia. Saya rasa kita perlu tunggu dan harus mengenali diri kita dengan lebih rapat sebelum kita membuat sebarang soalan matematik!
Murid bermasalah: Saya bersedia sekarang juga!

Dalam pengaplikasian teknik ini, guru-guru mesti sangat spesifik dalam menetapkan matlamat tingkah laku yang perlu dicapai oleh murid-murid mereka. Contohnya, untuk seseorang murid yang mempunyai tingkah laku bermasalah di mana dia selalu bergerak dalam bilik darjah, guru boleh menetapkan matlamat tingkah lakunya sebagai ” Berhenti bergerak di dalam bilik darjah.” akan tetapi, guru akan terus mengejek murid tersebut untuk berjalan dan berlari lebih di dalam bilik darjah. Akhirnya, murid akan memahami makna sebenar guru ialah untuk duduk denagn diam dan menumpukan perhatian pada pengajaran guru.


1.4   Shaping

Shaping merupakan proses pembentukan tingkah laku yang diingini melalui beberapa peneguhan diberi secara beransur-ansur. Prinsip shaping ditakrifkan sebagai satu usaha memberikan ganjaran kepada murid setiap kali dia semakin hamper kepada sesuatu matlamat tingkah laku yang telah ditetapkan oleh guru. Dalam teknik modifikasi ini, ganjaran yang ditawarkan oleh guru menjadi semakin besar apabila murid bergerak hampir ke arah pencapaian matlamat tingkah laku yang telah ditetapkan. Jika murid secara progresif dapat mencapai objektif tingkah laku positif yang telah ditetapkan oleh guru, guru akan terus menyediakan ganjaran/ hadiah yang lebih besar sehingga tingkah laku bermasalah terus berhenti.
Dalam pengaplikasian teknik ini, guru juga mesti sangat spesifik dalam menetapkan matlamat tingkah laku yang perlu dicapai oleh murid. Contohnya, untuk murid yang mempunyai masalah tingkah laku yang mana dia selalu bercakap-cakap dengan kawannya di dalam bilik darjah, guru boleh menetapkan matlamat tingkah lakunya sebagai “ berhenti bercakap di dalam bilik darjah.” Jika murid Berjaya mencapai matlamat ini, guru menawarkan ganjaran yang lebih besar secara progresif (sedikit demi sedikit) kepadanya sehinggalah tingkah laku bermasalah itu hapus.

1.5   Token Economy

Ia merupakan satu sistem untuk membahagikan beberapa peneguh simbolik yang akan ditukarkan kepada pelbagai peneguh yang diidamkan seperti point merit, markah, peratus. Kebiasaannya ia digunakan di sekolah-sekolah berasrama penuh bagi pengukuhan disiplin murid. Guru-guru boleh menggunakan system token untuk mengawal tingkah laku murid-muridnya supaya mereka dapat menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran tanpa apa-apa gangguan. Setiap kali murid menunjukkan tingkah laku positif, dia akan diberikan satu token oleh guru. Satu contoh token terdiri daripada kad-kad berwarna yang mempunyai nilai-nilai yang spesifik. Sebagai contoh, kad biru diberi 5 markah, kad merah diberi 10 markah dan sebagainya. Apabila murid-murid mencapai markah yang ditetapkan oleh guru, mereka dapat menukarkannya untuk hadiah yang telah ditetapkan oleh guru. Sebagai contoh, jika murid Berjaya mengumpul 100 markah, dia akan diberikan satu kotak pensil warna oleh guru. Ini akan memotivasikan murid untuk terus menunjukkan tingkah laku positif untuk memiliki kotak pensil warna tersebut.
Sebelum melaksanakan teknik ini, guru-guru mesti memastikan aspek-aspek yang berikut:
-Tingkah laku yang dikehendaki
-Ganjaran yang ditawarkan
-Jenis token
-Bagaimana token akan diperuntukkan
-Berapa banyak token yang akan diberikan sekiranya murid mencapai tingkah laku yang dikehendaki.

Kajian terkini menunjukkan bahawa teknik token ekonomi sangat berkesan dalam mengurangkan masalah ponteng sekolah. Murid sekolah yang suka berponteng diberikan token oleh guru setiap hari yang dia menghadiri awal ke sekolah. Teknik ini akan memotivasikan murid tersebut untuk menghadiri sekolah awal setiap hari untuk mengutip tokennya. Walau bagaimanapun, dalam jangka masa yang panjang, guru-guru mesti mengimplementasikan system di mana setiap kali tingkah laku positif telah dicapai, token yang diberikan kepada murid-murid akan dikurangkan sedikit demi sedikit.



Respons Memperoleh Tokens
Respons
Kriteria
Bil. Tokens
Membaca
1 jam
1
Membaca
1 ½ jam
2
Membaca
2 jam
4
Mengarang
100 perkataan
1
Mengarang
150 perkataan
3
Mengarang
200 perkataan
5
Tugasan
1
2
Tugasan
2
4
Tugasan
3
6



Menebus nilai tokens
Peneguh
Bil. tokens

1 CD yang diingini
30

Menonton wayang
50

Makan malam di restoran
100

Makan angin pada hujung minggu
500


Jadual 1 : token economy untuk membentuk tingkah laku pembelajaran

 

1.6   Kontrak ( Lisan atau Bertulis )

Satu lagi teknik memodifikasi tingkah laku yang boleh diamalkan oleh guru ialah kontrak bertulis. Kontrak tingkah laku ini boleh dibuat secara lisan atau bertulis. Ia terdiri daripada satu persetujuan di antara guru dengan murid selepas guru membuat perbincangan berkaitan dnegan murid tersebut. Jika kontrak dibuat secara bertulis, seorang murid mesti menandatangani kontrak ini dan jika dia melanggarinya, dia mesti menjalani hukuman yang telah ditetapkan di dalam kontrak tersebut. Jika murid dapat melakukan tingkah laku yang lebih baik dan prestasi kerja yang lebih tinggi, dia akan diberikan ganjaran yang telah ditetapkan di dalam kontrak.
Kontrak ini mestilah dibuat dalam bentuk mudah kerana ia melibatkan murid-murid sekolah. Satu faedah teknik ini ialah murid-murid akan menunjukkan tingkah laku yang lebih baik kerana pandangan dan pendapat mereka diambil secara serius oleh guru dalam kontrak ini. Langkah terakhir dalam penulisan kontrak ini ialah ia perlu ditandatangani oleh kedua-dua pihak (guru dan murid). Semua penerangan tentang jenis ganjaran atau jenis hukuman yang akan diberikan dinyatakan dengan jelas di dalam kontrak. Ia juga mengandungi butiran-butiran seperti penalti, tempoh kontrak berlangsung serta cara-cara menilai sama ada tingkah laku positif yang ditetapkan dicapai ataupun tidak. Melalui cara ini ia dapat memodifikasikan tingkah laku negatif kepada positif secara perjanjian lisan atau bertulis.


1.7   Time – out


“Time-out” merupakan satu teknik modifikasi tingkah laku di mana guru mengalihkan seseorang murid daripada persekitaran di mana tingkah laku negatif berlaku sebagai satu cara untuk mengurangkan atau menghapuskan tingkah laku negatif tersebut. Dalam teknik ini, jika murid menunjukkan tingkah laku seperti yang dikehendaki oleh guru, mereka akan dihantar ke satu lokasi yang telah ditetapkan oleh guru, seperti ke satu sudut di dalam bilik darjah di mana murid tersebut akan menghadap dinding atau dihantar ke bilik lain. Dalam teknik “time out”, jika seseorang murid tidak dapat mengawal dirinya, dia akan dikeluarkan dari tempat bermasalah dan dibiarkan bersendirian di satu sudut di dalam bilik darjah. Bila kelakuan murid menjadi lebih positif, dia dibenarkan duduk balik di tempatnya di dalam bilik darjah.
“Time-out” sanagt berkesan untuk murid-murid yang berumur diantara 4 hingga 12 tahun. Masa yang diperuntukkan untuk duduk dalam masa “time-out” biasanya di antara 1 hingga 10 minit bergantung kepada darjah keseriusan masalah tingkah laku murid tersebut. Selepas sesi “time-out” guru-guru perlu menerangkan kepada murid-murid mengapa dia telah diberikan hukuman tersebut.

1.8   Peniruan/modeling

Peniruan/modeling juga dikenali sebagai pembelajaran pemerhatian. Kanak-kanak mempunyai banyak respon positif dan negatif daripada pemerhatian terhadap orang lain. Justeru itu, modeling adalah satu teknik modifikasi tingkah laku di mana guru-guru menetapkan satu tingkah laku yang baru di kalangan murid bermasalah dengan menyuruh murid ini membuat pemerhatian terhadap murid-murid lain yang sedang menunjukkan tingkah laku yang positif. Selepas membuat pemerhatian, murid-murid yang mempunyai tingkah laku bermasalah di suruh untuk membuat simulasi atau “role play” mengenai keadaan yang diperhatikannya supaya murid tersebut dapat menunjukkan tingkah laku positif yang sama. Teknik modofikasi tingkah laku ini sangat sesuai untuk meningkatkan kemahiran sosial kanak-kanak. Teknik ini boleh digunakan oleh guru untuk mengajar murid cara betul untuk bercakap dengan orang dewasa serta tidak menggunakan kata-kata yang kesat. Cirri-ciri penting teknik modeling:

-       Pembelajaran hanya berlaku jika ada tumpuan pemerhatian
-       Pemerhati akan melihat hubungannya dengan model daripada aspek umur, jantina dan status
-       Pemerhati akan menilai kegunaan dan faedah dalam meniru sesuatu tingkah laku
-       Pemerhati harus berupaya mengekalkan tingkah laku yang diperhatikan dalam ingatan
-       Pemerhati harus berupaya melakukan semula tingkah laku yang ditirunya dengan baik


1.9   Kawalan Kendiri

Tingkah laku ini merujuk kepada kebolehan individu mengawal tingkah laku sendiri. Ia dilakukan seperti berikut :-

a)    Menentukan tingkah laku yang ingin dimodifikasikan
b)    Mengumpulkan data
c)    Merancang program tindakan
d)    Menilai program
e)    Menamatkan Program

1.10      Pengasingan

Pengasingan ialah satu teknik modifikasi tingkah laku di mana murid-murid di suruh keluar daripada bilik darjah atau di masukkan dalam kelas detensi untuk menjalani hukuman yang telah ditetapkan oleh guru. Satu konsep penting dalam teknik pengasingan ialah guru membiarkan tingkah laku murid yang bermasalah negatif dengan tidak memberi apa-apa perhatian padanya. Teknik ini berdasarkan andaian bahawa tingkah laku yang tidak diteguhkan akan terhapus dengan sendirinya. Dengan mengabaikan atau tidak mengendahkan sesuatu tingkah laku yang negatif secara konsisten, tingkah laku tersebut akan terhapus dengan sendirinya.
            Teknik ini adalah sesuai apabila murid-murid tidak menunjukkan tingkah laku yang positif walaupun telah diingatkan oleh guru beberapa kali. Dalam teknik ini guru-guru tidak akan memberikan perhatian kepada murid tersebut sehingga murid tersebut mengikuti arahan guru. Bila guru-guru marah murid, masalah itu di arah balik kepada puncanya iaitu murid. Jika murid-murid tidak mengikut arahan guru, maka pengasinagn ke kelas detensi disyorkan. Pengasingan juga boleh dikaitkan kepada masalah kebimbangan perpisahan iaitu satu keadaan psikologikal di mana individu mempunyai kebimbangan berlebihan bila terpisah dengan ibubapa atau penjaga yang disayangi. Contohnya, masalah ini biasanya sangat serius semasa kanak-kanak berdaftar untuk pendidikan pra sekolah. Pada tahap ini, guru-guru menghadapi masalah besar dalam mengendalikan murid-murid yang tidak dapat berpisah dengan ibu bapa mereka. Guru-guru boleh memodifikasikan tingkah laku perpisahan dengan membuat murid yang menunjukkan tingkah laku bermasalah ini untuk melatih mengalami perpisahan untuk masa yang singkat dan kemudian meningkatkan masa tersebut secara beransur-ansur mengikut tahap toleransi murid. Guru-guru juga mesti memuji murid tersebut bila dia dapat menunjukkantingkah laku yang positif semasa ketiadaan ibu bapa mereka. Biasanya teknik ini akan mengalakkan kanak-kanak untuk menyesuaikan diri kepada rutin pra sekolah.


2.0 IMPLIKASI PENGURUSAN TINGKAH LAKU KE ATAS PROSES PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Implikasi utama dalam melaksanakan satu program modifikasi tingkah laku ialah ia dapat membawa peningkatan dalam pencapaian akademik, kompetensi sosial dan iklim sekolah yang lebih kondusif. Selain itu, ianya juga merupakan satu cara untuk mendapatkan pencapaian akademik yang lebih tinggi daripada murid-murid yang bermasalah serta meningkatkan penglibatan murid-murid bermasalah dalam perbincangan kelas.
Melalui program modifikasi tingkah laku, motivasi intrinsik murid-murid juga dapat dipertingkatkan di mana mereka tidak mengharapkan lagi ganjaran kebendaan untuk menunjukkan tangkah laku yang positif. Oleh itu, dengan mengawal bilik darjah termasuk mengurus tingkah laku bermasalah akan menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Jika ia tidak diambil dengan serius walaupun persediaan dibuat dengan baik objektif pengajaran dan pembelajaran tidak akan tercapai. Guru harus bertanggungjawab mengenalpasti tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan oleh murid semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Dengan ini sesi pengajaran dan pembelajaran berlaku dengan lebih lancar dan apa yang ingin disampaikan pada hari tersebut mencapai objektifnya.
Pengawalan bilik darjah adalah penting semasa proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Oleh itu, guru harus mempunyai ilmu dalam pengurusan tingkah laku bermasalah bagi murid-murid sekolah rendah supaya tidak menimbulkan sebarang masalah semasa guru mengajar. Menggunakan pelbagai teknik yang telah disebut, guru boleh memilih jenis teknik yang ingin digunakan sama ada peneguhan, dendaan, reverse psychology, shaping, token economy, kontrak, time out, modeling, kawalan kendiri, pengurusan kendiri dan sebagainya bersesuaian dengan masalah murid tersebut. Dengan ini pembelajaran adalah lebih berkesan.
Justeru itu, program modifikasi tingkah laku dapat menolong menukar persekitaran sekolah, dengan menggantikan tingkah laku negatif kepada positif. Pada masa yang sama, ia juga menolong meningkatkan kepuasan intrinsik murid-murid serta menolong guru-guru mencapai tingkah laku yang dikehendaki daripada murid-murid mereka dalam proses pengajaran dan pembelajaran.


Hasil nukilan
MARNIYATI  BT MAMAT NOOR
DPLI MT/PM 2012