Thursday 30 August 2012

PENGURUSAN TINGKAH LAKU BERMASALAH



1.0       DEFINISI DAN KONSEP

Bermula dari tahun 1920-an, kajian-kajian berkaitan tingkah laku menunjukkan faktor-faktor luaran atau persekitaran yang berlaku sebelum atau selepas sesuatu peristiwa akan merangsang sesorang individu mempamerkan sesuatu tingkah laku yang khusus.

Pada umumnya hasil kajian saintifik pengurusan tingkah laku mencadangkan bahawa kebanyakan tingkah laku adalah dipelajari. Ini bermakna tingkah laku baru atau alternatif boleh dipelajari pada bila-bila masa. Tingkah laku yang negatif seperti agresif, suka merosakkan harta benda boleh diubah kepada tingkah laku baru yang lebih positif jika individu itu diberi intervensi yang dirancang dengan teliti, iaitu sesuai dan sistematik. Pengurusan tingkah laku adalah program tingkah laku yang berbentuk saintifik yang dibuat secara analisis untuk menghasilkan perubahan tingkah laku sosial yang positif bagi seorang individu. (Bear, Wolf and Risley, 1968).

Tingkah laku adalah berbagai ragam dan berbagai laku. (Kamus Dewan, 1979).

Manakala modifikasi atau pengubahsuaian pula adalah satu pendekatan berstruktur dan bersistematik bagi meningkatkan tingkah laku diingini, mengurangkan tingkah laku yang buruk, dan mengekalkan tingkah laku sasaran. Pendekatan ini banyak mengamalkan peneguhan bagi mencapai matlamat pengubahsuaian tingkah laku diingini.

Pengurusan tingkah laku boleh ditakrifkan sebagai satu rancangan untuk memodifikasikan tingkah laku bermasalah ke satu matlamat yang telah ditetapkan dengan teknik-teknik atau kaedah-kaedah yang sesuai seperti peneguhan positif dan negatif. (Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh, 2012)

Dalam rancangan ini, guru-guru harus memberitahu murid-murid tentang tingkah laku yang harus diamalkan di sekolah dan peraturan-peraturan sosial yang harus ditunjukkan dalam bilik darjah. Guru-guru juga mesti selalu memodelkan tingkah laku yang positif.
Selain itu, guru-guru juga harus menggunakan contoh-contoh visual dan konkrit untuk menunjukkan interaksi yang positif dalam sistem persekolahan.

2.0       PROSES

Terdapat beberapa proses yang telah ditetapkan dalam proses memodifikasikan tingkah laku murid-murid yang melibatkan perkara-perkara berikut:
  • Guru-guru harus mengenal pasti tingkah laku bermasalah yang telah ditunjukkan oleh seorang murid.
  • Guru-guru harus menetapkan matlamat tingkah laku yang betul yang harus ditunjukkan oleh murid-murid tersebut.
  • Guru-guru akan menggunakan pelbagai teknik modifikasi tingkah laku sehingga tingkah laku yang salah itu diperbaiki atau dipebetulkan.

2.1       Peringkat dalam Proses Modifikasi Tingkah Laku

2.1.1   Taksiran

Pada peringkat awal, seorang guru harus mengenal pasti tingkah laku bermasalah yang ditunjukkan oleh seseorang murid. Ini membolehkan guru menetapkan objektif tingkah laku yang patut ditunjukkan oleh murid tersebut. Masalah tingkah laku dinilai supaya masalah dapat ditangani untuk membawa perubahan pola tingkah laku kepada murid-murid bermasalah.

2.1.2   Intervensi

Seterusnya, dalam proses intervensi, seseorang guru menggunakan pelbagai teknik modifikasi tingkah laku sehingga tingkah laku yang salah diperbetulkan atau diperbaiki. Dalam tahap ini, guru tersebut mesti terus memperbaiki dan memodifikasikan tingkah laku salah murid-murid sehingga mereka tidak lagi bergantung kepada ganjaran-ganjaran ekstrinsik tetapi menunjukkan tingkah laku yang betul oleh kerana motivasi intrinsik mereka.

2.1.3   Penilaian

Selepas itu, pada tahap penilaian, guru tersebut mesti menilai hasil kesemua intervensi tingkah laku dan membuat kesimpulan mengenai program modifikasi tingkah lakunya.

Oleh itu, dalam proses modifikasi tingkah laku, guru-guru mesti mengikut langkah-langkah berikut:                                                   
  • Membuat pemerhatian awal dan penilaian terhadap satu tingkah laku bermasalah.
  • Mengenalpasti dan menentukan objektif tingkah laku positif yang perlu dicapai oleh murid-murid.
  • Menunjukkan satu set tingkah laku positif (sama ada dengan kaedah model atau pemberitahuan).
  • Memberikan ganjaran atau peneguhan untuk tingkah laku positif secara konsisten.

Guru-guru perlu memahami bahawa walaupun dengan aplikasi teknik dan intervensi ini, murid-murid mungkin terus menunjukkan tingkah laku bermasalah. Jikalau ini berlaku, mereka perlu mendapat nasihat dan bantuan para profesional.

Justeru itu, dalam mana-mana program modifikasi tingkah laku, seorang guru perlu memahami murid-muridnya dan sentiasa bersifat adil.

3.0       OBJEKTIF


Program pengurusan atau memodifikasikan tingkah laku penting kerana objektif utamanya ialah untuk mengajar murid-murid tingkah laku betul yang harus diamalkan oleh mereka. Justeru itu, guru-guru perlu merancang pelbagai strategi modifikasi tingkah laku supaya meraka dapat melaksanakan program ini dengan konsisten.

Satu objektif sampingan program ini ialah murid-murid diajar untuk memperbetulkan semua tingkah laku bermasalah dan juga diajar respon-respon alternatif yang boleh diterima dalam satu persekitaran sosial.

Guru-guru juga mesti meneguhkan semua tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid-murid secara konsisten dan tetap untuk memastikan kejayaan sesuatu program modifikasi tingkah laku.

Apabila seorang murid terlibat dalam satu konflik, membuli atau menjadi agresif secara verbal atau fizikal, guru perlu mengamalkan interaksi positif dan mengelak daripada memanggil murid tersebut nakal dan bodoh. Guru menunjukkan reaksi yang tidak gembira dan murid bermasalah perlu memahami bahawa guru bukan marah dengannya tetapi hanya degan tingkah laku salah yang dia tonjolkan.

Tingkah laku yang diterima dan yang sesuai harus berlaku secara konsisten, dan ia berlaku dalam satu jangka masa tertentu. Ia juga dipengaruhi oleh sokongan ibu bapa dan bimbingan daripada rakan sebaya, pengalaman lepas dan teknik intervensi yang digunakan oleh guru-guru, penjaga dan ibu bapa.

Guru-guru mesti mengekalkan dan meningkatkan semua tingkah laku positif yang ditunjukkan oleh murid-murid pada kadar konsisten dan tetap.

3.1       Pengekalan Dan Peningkatan Tingkah Laku Yang Diingini.


Guru-guru harus memikirkan strategi-strategi pengekalan dan peningkatan tingkah laku yang diingini di kalangan murid-murid dengan menawarkan ganjaran-ganjaran seperti berikut:
    • Pingat kecemerlangan akademik mingguan.
    •  Pelekat dan coklat/pensil (untuk murid-murid yang lebih muda).
    • Carta bintang (murid-murid yang lebih muda).
    • Memberikan pujian (memberitahu murid-murid yang lain atau menyebut nama murid yang menunjukkan kelakuan baik di dalam perhimpunan atau bilik darjah).

Guru-guru yang berkemahiran selalu menggunakan ganjaran yang berkesan dan tepat untuk memotivasikan murid-murid mereka. Ganjaran ini boleh diberikan dalam bentuk hadiah materialistik atau dalam bentuk penerimaan sosial di dalam bilik darjah.

Jika kata-kata pujian tidak berkesan, guru-guru boleh menggunakan ganjaran berbentuk materialistik di mana murid-murid ditawarkan sesuatu hadiah atau barang maujud. Hadiah yang akan diberikan oleh guru-guru boleh dirunding bersama-sama dengan murid-murid.

Guru-guru juga mesti memberikan pujian bersama-sama dengan sesuatu hadiah sehingga murid-murid hanya ingin menerima pujian sahaja (motivasi intrinstik). Jika modifikasi tingkah laku berjaya, murid-murid dapat menyesuaikan diri dan berfungsi dalam bilik darjah tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran.

Untuk mencapai satu set tingkah laku positif yang dikehendaki dalam bilik darjah, guru-guru perlu menjalani langkah-langkah berikut:
    • Meningkatkan keyakinan kendiri dan konsep kendiri murid-murid setiap masa.
    • Memuji murid-murid apabila mereka tidak menjangkanya langsung.
    • Menyediakan peluang untuk murid-murid menjadi bertanggungjawab.
    • Memberitahu murid-murid apabila mereka dapat melaksanakan satu tanggungjawab dengan baik.
    • Guru-guru juga harus bersifat objektif dalam memahami murid-murid serta tidak boleh hilang kesabaran walaupun mereka ingin berbuat demikian.

Beberapa prinsip boleh digunakan dalam mengekalkan dan meningkatkan satu set tingkah laku dalam sistem sekolah.

                        3.1.1   Prinsip Bersiri Anggaran

Seseorang guru mesti mengajar murid bermasalah untuk beraksi dalam satu cara yang dia tidak pernah buat sebelum ini dan memberikan banyak ganjaran secara bersiri dan konsisten sehingga tingkah laku bermasalah berakhir.

Contohnya, seorang murid disruptif bercakap dengan kuat dan kurang berminat untuk belajar di dalam bilik darjah. Dalam mengaplikasi prinsip ini, guru akan memberikan ganjaran kepada murid ini setiap kali dia bercakap dengan perlahan atau mengangkat  tangannya untuk menjawab soalan sehingga tingkah laku bermasalahnya berhenti.

                        3.1.2   Prinsip peneguhan Berterusan

Dalam mengaplikasi prinsip ini, bila guru ingin membangunkan satu tingkah laku yang baru yang seorang murid belum menunjukkan sebelum ini, beliau akan memberikan ganjaran serta merta secara berterusan selepas tingkah laku yang betul dipertunjukkan oleh murid tersebut.

Contohnya, seorang murid yang selalu gagal dalam mata pelajaran matematik, guru akan memberikan ganjaran setiap kali pelajar tersebut dapat menjawab satu set soalan matematik dengan betul. Ini akan menggalakkan murid untuk mencuba dan membuat lebih banyak soalan matematik dan seterusnya menikmati kejayaan dalam mata pelajaran.

   3.1.3   Prinsip Peneguhan Negatif

Peneguhan negatif ialah apa sahaja yang dilakukan sebaik sahaja perlakuan yang ditunjukkan dan hasilnya ialah perlakuan yang tidak diulangi lagi. Dengan kata lain, suatu rangsangan yang menyeronokkan diberhentikan dari persekitaran murid agar keadaan akan jadi lebih menyenangkan.

Antara jenis peneguhan negatif ialah dendaan, pelupusan rangsangan yang menyeronokkan dan sebagainya. Peneguhan negatif dilakukan segera sebaik sahaja pelakuan negatif ditunjukkan.

Murid yang dikenakan atau menerima peneguhan negatif mestilah tahu kenapa mereka dikenakan peneguhan negatif. Ini penting agar tidak berlakunya penderaan atau tindakan di luar batas normal dan mengelak daripada berlakunya penganiayaan.

Peneguhan negatif tersebut mestilah kekal dan bersifat adil kepada sesiapa sahaja yang dikira sesuai dikenakan peneguhan negatif.
Peneguhan negatif dikenakan atas dasar sayangkan murid dan bukan bertujuan untuk balasan atau mengikut emosi marah.

Contohnya, ‘ Ahmad, awak tinggal di dalam bilik ini dan siapkan kerja sebelum awak ke bilik muzik bersama-sama kawan lain’.

                        3.1.4   Prinsip Diskriminasi

Dalam mengaplikasi prinsip diskriminasi, guru akan mengajar seorang murid untuk bertindak di dalam satu cara yang tertentu di dalam satu keadaan, tetapi bukan di dalam satu keadaan yang lain. Untuk membuat diskriminasi yang betul, murid perlu mengenal pasti ‘kue’ tanda yang membezakan satu situasi dengan yang lain dan hanya mendapat ganjaran apabila tindakannya betul sejajar dengan ‘kue’ yang telah diberikan oleh guru.

Sebagai contoh, murid mungkin belajar ‘kue’ bahawa bercakap dengan kuat di dalam bilik darjah akan menyebabkan dia mendapat lebih banyak kerja rumah. Justeru itu, murid tersebut belajar untuk tidak bercakap kuat di dalam bilik darjah (stimuli diskriminasi). Justeru itu, stimuli yang berdiskriminasi ini menyebabkan tingkah laku negatif kurang.

3.1.5   Prinsip Peningkatan Peneguhan

Guru akan meletakkan syarat untuk lebih masa atau renspon yang betul sebelum tingkah laku yang dikehendaki oleh murid diberikan ganjaran yang sewajarnya. Bila seorang guru ingin menggalak seorang murid untuk terus berusaha membuat satu tingkah laku yang telah dilazimkan dengan ganjaran, beliau akan meningkat jangka masa atau bilangan respon bagi murid tersebut untuk terus menunjukkan sesuatu tingkah laku yang positif.

Contohnya, seorang kanak-kanak membuat 10 soalan matematik dan menerima pujian daripada guru untuk pencapaian baiknya. Mengikut prinsip ini, guru akan meningkatkan kerja rumahnya dengan menggandakan jumlah soalan matematik dan menggalaknya untuk mendapatkan kesemua soalan ini betul sebelum dia memuji murid tersebut pada kali berikutnya.

           3.2        Pengurangan  Dan Pelupusan Tingkah Laku Yang Tidak Diingini.


Guru perlu menggunakan peneguhan negatif dalam bentuk denda atau hukuman untuk mengurangkan dan melupuskan tingkah laku yang tidak diingini. Bentuk-bentuk denda yang boleh diberikan adalah seperti berikut:
    • Kritikan
    • Amaran
    •  Kerja tambahan

Hukuman merotan adalah perlu untuk mengikis tingkah laku yang sangat berbahaya. Akan tetapi, kesan peneguhan negatif menyebabkan murid tersebut benci sekolah dan mungkin menyebabkan menarik diri daripada memberikan kerjasama kepada pihak sekolah.

Guru-guru juga boleh menghapuskan tingkah laku yang salah atau mengurangnya dengan mengamalkan beberapa prinsip-prinsip.

                        3.2.1   Prinsip Penghapusan

Jika guru ingin seorang kanak-kanak untuk bertindak laku dalam cara yang tertentu, dia boleh mewujudkan situasi di mana murid-murid tidak mendapatkan sebarang perhatian selepas menunjukkan sesuatu tingkah laku bermasalah.

Contohnya, seorang murid memiliki tabiat untuk menyembunyikan diri di bawah mejanya, dan setiap kali dia berbuat demikian, murid-murid yang lain di dalam bilik darjah akan meneguhkan tingkah laku ini dengan ketawa. Justeru itu, guru-guru memberitahu murid-murid dalam kelas untuk tidak ketawa dan guru tersebut juga tidak memberi perhatian tingkah lakunya. Lama kelamaan, ini akan meghapuskan tingkah laku bermasalah tersebut.

                        3.2.2   Prinsip Pengelakan

Bila guru-guru ingin mengajar murid-murid untuk mengelak sesuatu situasi negatif yang tertentu, guru-guru perlu memastikan situasi itu dielakkan dengan satu stimuli yang kurang selesa.

Contohnya, seorang murid sentiasa datang lewat ke sekolah. Guru kelas memaklumkan padanya bahawa jika dia lambat sekali lagi, dia perlu memberi ucapan pada hari perhimpunan sekolah yang berikutnya. Jadi murid tersebut akan datang ke sekolah awal untuk mengelak dari memberi ucapan di perhimpunan sekolah.

Contoh lain yang boleh diaplikasikan di bilik darjah ialah dengan memberitahu murid yang bermasalah jika dia tidak ingin pergi ke bilik disiplin, dia perlu memastikan yang dia duduk dengan diam dan mengikut arahan guru sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran.

                        3.2.3   Prinsip Pengurangan Ketakutan

Bila guru ingin membantu seorang murid untuk mengatasi perasaan takut dalam satu situasi tertentu, guru perlu meningkatkan pendedahan kepada situasi tersebut sehingga murid-murid tersebut merasa selesa dan dihargai oleh semua.

Contohnya, seorang murid yang takut untuk menjawab soalan dalam bilik darjah digalak untuk menjawab soalan dalam aktiviti kumpulan kecil terlebih dahulu untuk mendapat keyakinan sebelum mencuba dan menjawab soalan di dalam bilik darjah.
                        
                        3.2.4   Prinsip Hukuman

Bila guru ingin memberhentikan tingkah laku bermasalah yang serius, hukuman seperti merotan murid tersebut selepas satu tingkah laku negatif yang ditonjolkan perlu dijalankan. Oleh kerana hukuman seperti ini hanya menyebabkan hostiliti berlebihan dan agresif, ia harus digunakan secara jarang.

Contoh hukuman ialah hukuman rotan dan digunakan secara jarang apabila keadaan yang benar-benar memerlukan hukuman ini dikenakan setelah teknik lain tidak berhasil.

4.0     RUMUSAN OBJEKTIF MODIFIKASI TINGKAH LAKU

Modifikasi tingkah laku merupakan suatu pendekatan sistematik untuk mengubah tingkah laku melalui pengaplikasian prinsip-prinsip pelaziman. Prinsip  pelaziman adalah berdasarkan teori-teori yang dikemukakan oleh pakar-pakar behavioris melalui Teori Pembelajaran Behavioris. Teori ini berfokus kepada pembolehubah yang boleh dilihat, dinilai dan yang boleh dimanipulasikan. Pada dasarnya, teori ini menyarankan kepercayaan bahawa tingkah laku seseorang disebabkan dan dipengaruhi oleh persekitarannya. Ia berdasarkan prinsip bahawa rangsangan dari persekitaran membawa tidak balas pada tingkah laku. Teori ini juga menyarankan bahawa pembelajaran berlaku apabila tindakan secara ulang dilakukan sehingga ianya menjadi kebiasaan. Tingkah laku yang berulang itu dapat dikekalkan dengan peneguhan.

Tingkah laku adalah kekuatan jika ia diikuti dengan peneguhan. Malah peneguhan itu boleh sama ada peneguhan positif atau peneguhan negatif. Peneguhan positif merupakan stimuli yang boleh menambahkan kebarangkalian berulangnya sesuatu tingkah laku yang dikehendaki. Dalam permulaan pembelajaran, peneguhan diperlukan setiap masa agar ia dapat menghasilkan tingkah laku yang diharapkan. Tingkah laku dapat dikekalkan dengan peneguhan yang tidak sama dan berlainan. Misalnya memberi pujian, penghargaan, hadiah dan sebagainya sebaik sahaja tingkah laku yang memuaskan berlaku.

Peneguhan negatif pula merupakan stimuli yang dihapuskan dengan tujuan menguatkan tingkah laku positif supaya ia dapat diteruskan. Misalnya, seorang guru mengarah seseorang murid yang membuat bising dalam kelas agar keluar dan berdiri di luar kelas bagi menambahkan peluang murid lain untuk meneruskan aktiviti pembelajaran tanpa gangguan.

Denda atau hukuman pula bertujuan menghentikan sesuatu tingkah laku yang tidak diingini. Tetapi, ia adalah sesuatu yang kurang baik jika dikenakan kepada kanak-kanak yang mempunyai tingkah laku yang negatif. Ini kerana apabila hukuman dijalankan, maka tingkah laku itu akan menjadi menjadi semakin lemah apabila hukuman dikenakan. 

Disediakan oleh :
Fardynani bt. Mohd Yusuff
DPLI Matematik 2012

2 comments:

  1. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih atas nota di atas. Saya ingin menggunakan sebagai rujukan. Boleh cikgu berikan saya maklumat di mana saya boleh dapatkan buku asalnya sebab saya perlukan senarai rujukannya.
    Sekian terima kasih

    ReplyDelete