Wednesday 29 August 2012

BIMBINGAN INDIVIDU DAN BIMBINGAN KELOMPOK

 
 
 
1.0         Pengenalan
 Bimbingan merupakan satu tugasan yang penting dalam pendidikan. Guru-guru kelas memainkan peranan yang penting dalam membimbing semua murid di bawah jagaan mereka secara efektif. Bimbingan merupakan sebahagian daripada proses menolong. Ia melibatkan usaha memberi arahan secara teratur serta mengandungi maklumat sesuai bagi menentukan agar sesuatu matlamat tercapai oleh orang yang menerimanya. Lazimnya bagi penentuan kebajikan dan perkembangan dirinya (Othman Mohamed, 2000).
             Tujuan utama bimbingan dalam pendidikan adalah untuk membantu murid-murid yang menghadapi masalah dalam proses pembelajaran. Peranan guru bimbingan ialah untuk merekomendasikan kelas pemulihan untuk murid-murid lemah yang membolehkan mereka untuk meningkatkan pencapaian kendiri untuk tugasan-tugasan pembelajaran.
             Perkhidmatan bimbingan dalam pendidikan juga boleh membantu murid-murid cemerlang, yang pandai dan berbakat dan juga yang lembap dan yang cacat. Terdapat tujuh aktiviti asas dalam proses bimbingan pendidikan iaitu memaklumkan, menasihati, kaunseling, menilai, membolehkan, mengesyorkan dan juga maklum balas.
             Guru bukan sahaja memainkan peranan untuk menyampaikan maklumat dan kemahiran mata pelajaran kepada murid.  Malah untuk melaksanakan tugasnya dengan berkesan, guru perlu memastikan bahawa pelajarnya membina kemahiran untuk menangani masalah yang mungkin dihadapi dalam hidupnya.  Sekiranya pelajar tidak tahu cara menangani masalah emosi dan masalah peribadinya, maka hal ini  akan menjejaskan pembelajarannya. Justeru dia tidak dapat mengikuti aktiviti pembelajaran dalam bilik darjah. Oleh itu, guru tidak boleh mengelakkan peranan sebagai pembimbing kepada pelajar, bukan sahaja dalam mata pelajaran yang diajarnya, malah juga dalam menangani cabaran dan masalah harian yang dihadapinya. 
             Murid-murid yang memerlukan bimbingan dalam pendidikan biasanya menghadapi masalah-masalah yang berkaitan dengan kurikulum yang timbul kerana ketidaksesuaian dengan perkembangan kognitif atau kerana teknik-teknik pengajaran dan pembelajaran yang kurang berkesan. Selain itu, murid yang mempunyai motivasi rendah, konsep kendiri rendah dan perhubungan sosial yang rendah serta masalah-masalah yang berkaitan dengab kemiskinan juga memerlukan bimbingan daripada seorang guru. Masalah-masalah lain yang memerlukan bimbingan dan sokongan dalam pendidikan daripada seorang guru ialah krisis yang berkaitan dengan perkembangan mental seperti sikap yang mudah lupa atau menghadapi masalah dalam memahami konsep-konsep yang diajar dalam bilik darjah.
 
             
           Guru-guru bimbingan mestilah bersedia untuk menghadapi menghadapi semua jenis krisis atau krisis yang bersangkut paut dengan hal-hal akademik yang akan mempengaruhi murid-murid sekolah. Bimbingan mesti diberikan pada semua peringkat hidup murid-murid dan juga dalam perkembangan kerjaya mereka. Kejutaan budaya, krisis keluarga, konflik persahabatan dan masalah yang berkaitan dengan pendidikan merupakan beberapa masalah memerlukan bimbingan dalam sekolah. Murid-murid menghadapi masalah kendiri dan kerjaya juga mungkin memerlukan bimbingan dan kauseling.
 Kaunseling ini mungkin diberikan oleh guru-guru bilik darjah atau seseorang kaunselor melalui sesi kaunseling berstruktur individu atau kaunseling berkumpulan yang berfokus kepada satu masalah spesifik atau dalam bentuk kumpulan di mana isu-isu generik perkembangan sosial perlu ditangani.

2.0         Matlamat dan Prinsip - prinsip Bimbingan
 
Sebelum kita melihat matlamat dan prinsip-prinsip bimbingan, mari kita teliti maksudnya dahulu.  Umumnya, bimbingan merujuk kepada proses membantu seseorang membina kefahaman dan kemahiran untuk menangani isu dan cabaran hidup dengan berkesan.  Dalam proses ini, seseorang itu belajar untuk berubah dan membina sikap, nilai dan kemahiran baru supaya dapat menangani situasi yang sukar dengan lebih baik.  Kita perlu faham bahawa bukan mudah untuk berubah; ia merupakan proses yang berterusan dan sebagai guru kita perlu faham bahawa seseorang pelajar itu memerlukan masa untuk berubah.
 
Oleh itu, walaupun bimbingan ialah satu cara untuk membantu murid, namun ini tidak bermaksud bahawa guru atau kaunselor harus menyelesaikan masalah pelajar.  Sebaliknya, ini bermaksud guru haruslah mempunyai sikap mengambil berat dan mendengar supaya murid dapat menerokai dan memahami situasi dan dirinya dengan lebih baik, lalu membina kemahirannya sendiri untuk menangani masalahnya.
Matlamat utama bimbingan adalah untuk membantu murid membina potensinya supaya ia boleh menjadi seorang yang sihat dan seimbang, dengan kebolehan dan sikap yang akan membantunya menangani cabaran dan kesukaran hidup dengan berkesan. Selain itu, tujuan bimbingan ini adalah untuk membina kemahiran menyelesaikan masalah dan kemahiran membuat keputusan, membina kemahiran menguruskan diri seperti menguruskan masa, menguruskan tekanan, dan menentukan matlamat dan keutamaan untuk dirinya. Murid juga dapat memperbaiki hubungan interpersonalnya dan membina kemahiran komunikasi yang baik serta embina nilai dan sikap yang sihat dan positif terhadap dirinya dan orang lain, untuk meningkatkan kesedran dirinya serta kefahaman peranan dan tanggung jawabnya dalam hidup, dan membina kemahiran dan sikap bagi kejayaan akademik dan kerjayanya.
Guru dan kaunselor harus memastikan bahawa bimbingan yang diberi kepada murid haruslah sejajar dengan prinsip dan etika tertentu seperti bimbingan adalah bagi semua murid, kerana perkembangan diri, dijalankan secara sistematik dan terancang dan tidak harus ditujukan kepada “murid bermasalah” sahaja. Fokus utamanya ialah pencegahan iaitu, untuk mencegah masalah yang serius dalam kalangan pelajar dengan memberi mereka kemahiran untuk menangani masalah sementara masalah itu masih boleh dikawal. Ia harus dijalankan secara kolaborasi dengan kakitangan sekolah yang lain, seperti guru besar, guru-guru lain, kaunselor, serta dengan kerjasama ibu bapa dan masyarakat. 
 
Murid haruslah menyertai proses bimbingan ini sepenuhnya dan penuh rela, serta membina matlamat sendiri untuk membantu dirinya iaitu, faham bahawa ia bertanggungjawab terhadap perkembangan dirinya serta keputusan yang dibuat dalam hidupnya pada akhirnya.  Guru atau kaunselor tidak membuat keputusan bagi murid. Ia harus mengikut garis panduan etika bagi bimbingan dan kaunseling, seperti  semua keputusan yang dibuat semasa sesi bimbingan dan kaunseling adalah sulit  iaitu, maklumat mengenai pelajar dan hal yang dibincangkan semasa sesi tersebut tidak harus didedahkan kepada orang lain tanpa kebenaran pelajar tersebut; guru atau kaunselor haruslah senantiasa bertingkah laku secara profesional terhadap pelajar, dan mengelakkan diri daripada menjalin hubungan yang tidak sihat serta tidak beretika dengan pelajar tersebut; dan Guru atau kaunselor perlu menggunakakan kemahiran interpersonal seperti mendengar dengan aktif dan empati, dan mempunyai perasaan prihatin dan bersikap positif terhadap murid, supaya dapat menjalin hubungan baik dengan pelajar.
3.0         BIMBINGAN INDIVIDU 
 
Bimbingan individu adalah interaksi antara dua individu yang berlaku antara kaunselor dan klien. Kaunselor bekerja bersama-sama dengan klien yang mungkin mempunyai konflik kendiri, masalah dalam perhubungan dengan orang lain, masalah psikologikal ataupun masalah akademik. 
 
Gambar  1: Bimbingan individu melibatkan interaksi antara dua individu iaitu kaunselor dan klien.
 
            Menjalinkan satu perhubungan terapeutik dalam sesi bimbingan individu adalah sangat penting kerana ia menggalak individu untuk mendalami kesusahan yang dialami. Kaunselor perlu mengambil kira keperluan perkembangan dan keperluan khas murid-murid, sebagai contohnya, mereka yang matang, bermasalah, sedih, miskin dan sebagainya. 
Permasalahan yang boleh dibincangkan dalam kaunseling individu adalah seperti masalah penyesuaian diri daripada satu tahap kepada tahap lain, masalah perhubungan dan kekeluargaan, kematian, kebimbangan, kemurungan, masalah pemakanan, penderaan seksual, identiti seksual, pemikiran untuk membunuh diri, masalah akademik dan imej kendiri serta masalah konsep kendiri.
 

Rajah 1: Masalah-masalah yang boleh dibincangkan dalam kaunseling individu.

Dalam bimbingan individu, peranan guru ialah bukan untuk memberikan nasihat tetapi untuk menolong murid-murid untuk menguasai diri mereka sendiri. Guru bimbingan perlu memberikan bimbingan individu kepada murid-murid yang mempunyai konsep kendiri rendah atau mereka yang pemalu. Justeru itu, peranan seorang guru pembimbing ialah untuk membantu murid-murid yang mempunyai konsep kendiri yang rendah secara individu dengan menyuruh mereka untuk menerangkan sesuatu situasi semasa dan perasaan yang mereka merasai mengenainya, melafazkan semua emosi yang mereka merasai, menjawab secara jujur mengenai maslah-masalah semasa mereka serta menyuarakan keperluan-keperluan semasa dan masa depan mereka.
  
Gambar 2: Guru memberi bimbingan kepada murid yang mempunyai konsep kendiri rendah.
4.0         Bimbingan berkumpulan  
 
Bimbingan kelompok adalah satu bentuk kaunseling yang mencabar dan dinamik yang memerlukan kemahiran professional yang lengkap daripada kaunselor. Satu kumpulan kaunseling kelompok biasanya terdiri daripada lima hingga lapan individu atau murid yang dibimbing oleh seorang guru konselor. Murid-murid bertemu secara konsisten untuk mengenali satu sama lain. Dan bagaimana mereka berhubung dan berkomunikasi dengan orang lain. Kaunseling kelompok membuka jalan kepada individu mengubah sikap dan tingkahlakunya, mengikut nilai dan tanggapan asal sesebuah kelompok. Semua fungsi ini digunakan dalam sesebuah kelompok kecil dengan berkongsi masalah peribadi bersama rakan sebaya. 
            Matlamat kaunseling berkumpulan ini adalah untuk membantu pertumbuhan murid dalam bidang akademik serta mewujudkan interaksi individu yang lebih sihat. Selain itu, mewujudkan program pencegahan yang dapat mengurangkan krisis dalam diri dan krisis di antara individu dan mengurangkan masalah disiplin serta mewujudkan suasana yang lebih seronok di sekolah. Kaunseling berkumpulan ini mampu menanamkan rasa penerimaan diri sendiri dan belajar untuk megurangkan jual mahal atau tarik diri. Serta memberi kesedaran dan menerima beberapa persamaan dalam diri seseorang. Dan membolehkan seseorang itu sabar terhadap sebarang kesusahan.
 

Gambar 3: Bimbingan berkumpulan melibatkan lima atau lapan individu yang mempunyai masalah yang sama.
 
Ciri-ciri kaunseling berkumpulan ini adalah memberi fokus kepada pemikiran sedar dan tingkah laku. Penyertaan haruslah secara sukarela. Peserta harus bersedia berkongsi pengalaman dan bersedia mengubah diri. Sebelum menjadi peserta, penerangan yang jelas tentang objektif kelompok harus diberi kepada peserta dan pentadbir. Bentuk kelompok yang beraneka jenis ideal jika mempunyai 8 hingga 10 ahli yang berjumpa sekali atau dua kali seminggu selama 1 hingga 1½ jam dalam 3 hingga 5 sesi. Jumlah sesi bergantung kepada keperluan peserta serta kemampuan kaunselor.  
Peranan seorang peserta kelompok amat penting dalam keberkesanan kelompok. Seseorang peserta mempunyai sumber teraputik untuk menolong peserta-peserta lain. Kerahsiaan menjadi etika yang penting dalam kaunseling kelompok. Aktiviti kaunseling hendaklah dirancanng dengan baik. Setiap ahli kelompok boleh mencadangkan sesuatu yang boleh member kebaikan bersama. Seelok-eloknya ahli kelompok terdiri daripada mereka yang sama peringkat kematangan umur. Seorang kaunselor mungkin sebagai pemehati sahaja. 
Dalam bimbingan kelompok, murid-murid dengan masalah yang sama bertemu untuk berbincang masalah mereka dan berkongsi pengalaman mereka. Lama kelamaan dengan fasilitasi dan konsultasi daripada kaunselor, mereka dapat menyelesaikan isu-isu yang dihadapi. Bimbingan kumpulan merupakan satu alatan yang sangat berguna untuk pembelajaran kendiridan untuk mendedahkan murid-murid kepada cara-cara yang berbeza bagaimana rakan-rakan sebaya bertindak. 
 
 
          Antara kebaikan bimbingan kelompok ialah untuk memberikan murid-murid kekuatan untuk menjadi lebih bersikap terbuka dan berkeyakinan tinggi. Selain itu, bimbingan berkumpulan ini dapat menolong murid-murid untuk memahami diri mereka sebagai individu dan memperkembangkan kesedaran emosi murid-murid serta membantu murid-murid supaya menjadi lebih kuat dan berkeyakinan. 
Selain daripada itu, faedah bimbingan berkumpulan ini dapat mengatasi faedah yang diperolehi dari sesi kaunseling individu dalam cara-cara seperti murid-murid dapat mendengar dan belajar daripada pengalaman dan idea-idea rakan sebaya dan ini menolong membangun perasaan komitmen dan kekitaan kepada bimbingan kumpulan melalui proses berkongsi pengalaman, masalah dan idea-idea yang hamper sama. Murid- murid juga dapat membantu diri mereka dan rakan sebaya yang lain dengan berada dalam satu perhubungan yang sama dalam kumpulan ini. Ini juga membantu mereka untuk membentuk satu kefahaman mengenai individu-individu lain. Selain itu, murid-murid akan melibatkan diri dalam proses memberi dan menerima maklum balas dan ini membantu mereka dalam proses memahami dan membantu diri sendiri.
 
Gambar 4: Individu akan mendengar dan belajar daripada pengalaman dan idea-idea rakan sebaya
 
Kelebihan kaunseling kumpulan ini di antaranya ialah sangat praktik kerana dapat mengurangkan bebanan kaunselor dan dapat menyelesai masalah yang sama di antara klien – kliennya. Klien mendapat kebebasan untuk meneroka masalah interpersonal dan bebas meluahkan perasaannya.Selain itu, klien akan mendapat maklum balas yang positif dari ahli kumpulannya. Klien juga akan dapat mencuba tingkah laku baru dalam keadaan yang selamat. Serta dapat memupuk perasaan percaya mempercayai dan hormat menghormati di antara klien. Kaunseling kumpulan ini dapat mewujudkan satu sistem sokongan bagi ahli kelompok. dan meningkatkan konsep kendiri klien. 
Manakala kelemahan kaunseling kelompok ini adalah kadang kala kaunseling jenis ini tidak sesuai untuk semua klien.  Klien berasa tertekan apabila berhadapan dengan orang lain. Klien juga mingkin sukar meluahkan perasaannya kepada orang lain jika masalahnya terlalu peribadi.
 
DARIPADA,
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Syafarina
IPG Tuanku Bainun, Bukit Mertajam,
Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment